Program tanggungjawab sosial korporat (CSR), Jasmine Project Love musim ketiga yang disiarkan menerusi 8TV telah melabuhkan tirai dengan menyalurkan bantuan sebanyak RM192,000 kepada 24 keluarga di seluruh negara hasil sokongan penonton.
Dana bantuan itu disalurkan menerusi 8TV Project Love Fund di bawah Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP, dengan setiap keluarga menerima sumbangan sebanyak RM8,000.
Musim ketiga program itu merangkumi 24 episod yang membawa penonton menelusuri kehidupan keluarga berdepan pelbagai cabaran menerusi kisah sebenar dari seluruh negara dengan sokongan penuh Jasmine Food.

