Seorang lelaki berusia 52 tahun telah meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah motosikal lain ketika melakukan pusingan U di Jalan Kemubu, Pulai Chondong, Machang pada petang tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Machang Superintenden Azuhar Md Nor, mangsa dipercayai membuat pusingan U secara tiba-tiba dari bahu jalan sekira jam 6 petang sebelum dirempuh motosikal lain yang datang dari arah belakang.
Siasatan awal menunjukkan kedua-dua motosikal sedang bergerak dari arah Kemubu menghala ke Mata Ayer ketika insiden tragis ini berlaku.


