Setiap kali Aidilfitri menjelma, ada lagu raya tertentu yang dianggap menjadi pelengkap kepada kemeriahan hari kemenangan itu di Malaysia.
Biarpun banyak karya baharu yang muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan, karya lama yang sudah dirakamkan sejak era 1970-an atau 1980-an terus bertahan menjadi pilihan pelbagai generasi.
Tidak banyak lagu yang benar-benar mencapai status malar segar, namun, bagi peminat muzik, Bersama Di Hari Raya terus berada dalam kelas tersendiri untuk menghidupkan suasana Aidilfitri sejak lebih empat dekad lalu.


