Bintang filem antarabangsa kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh memperkenalkan treler siri fiksyen sains terbaharunya, Blade Runner 2099, pada acara San Diego Comic-Con di Amerika Syarikat, hujung minggu lalu, lapor The Straits Times.
Michelle hadir bersama pelakon Hunter Schafer dan penerbit siri, Silka Luisa, bagi berkongsi perkembangan naskhah yang menjadi kesinambungan kepada filem Blade Runner 2049 (2017).
Siri itu berlatarbelakangkan 50 tahun selepas peristiwa dalam Blade Runner 2049 dengan Michelle membawakan watak Olwen, seorang replikan, iaitu manusia buatan bio kejuruteraan yang berada di penghujung hayatnya.


