Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menggesa agar pembangunan laluan penerbangan antara Malaysia dan Thailand diperluaskan secara lebih strategik dan tidak hanya tertumpu kepada laluan utama Bangkok-Kuala Lumpur.
Menterinya Datuk Seri Tiong King Sing berkata cadangan itu yang turut merangkumi pengenalan lebih banyak destinasi baharu bagi merangsang pertumbuhan pelancongan dua hala telah dikemukakan dalam pertemuan beliau dengan Thai Airways dan Thai Vietjet Air semasa lawatan kerja ke Bangkok baru-baru ini.
Beliau menegaskan pembangunan laluan baharu perlu mengambil pendekatan pelbagai pintu masuk dengan memperluas sambungan penerbangan ke Sabah dan Sarawak, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada Kuala Lumpur sebagai hab tunggal.


